Klik sini :D

Saturday, January 11, 2014

Kecederaan Lutut


Ligamen terputus



Ligamen lain adalah ligamen kruciate belakang (PCL), ligamen kolateral medial (MCL) dan ligamen kolateral lateral (LCL). ACL terlekat antara hujung bawah tulang paha (femur) dan hujung atas tulang kering (tibia) dalam sendi lutut.

Ia menyilang di dalam sendi lutut dalam arah pepenjuru dan di sisinya, PCL pula menyilang dalam arah bertentangan dengan membentuk palang di antara satu sama lain, itulah sebabnya kedua-dua ligamen ini dipanggil 'cruciate' atau 'genting' sempena bentuk mereka di dalam sendi lutut itu.

Fungsi utama ACL adalah untuk menghalang pergerakan tulang kering daripada bergerak ke hadapan dari tulang paha. Sementara PCL pula untuk menghalang tulang kering daripada bergerak ke belakang tulang paha.

Sebab itulah kedua dua ligamen kruciate ini sangat penting dalam memberi kestabilan pada sendi lutut, terutama semasa aktiviti sukan yang banyak membabitkan sentuhan badan dan juga pertukaran arah pergerakan dan pergerakan berputar. Sebab itulah kecederaan ACL akan memberikan implikasi yang serius kepada kestabilan dan fungsi sendi lutut.

Selalunya atlit yang mengalami kecederaan ACL akan mengalami kemerosotan dalam prestasinya kerana kesukaran yang dihadapi disebabkan lututnya yang tidak stabil.


Bagaimanakah ACL boleh tercedera?

ACL terputus atau terkoyak sebenarnya adalah kecederaan lutut yang sangat kerap berlaku dikalangan ahli sukan. Selalunya ACL tercedera apabila sendi lutut terpusing dengan kaki terpacak kaku ke tanah atau ketika terjatuh dengan kaki terlipat keluar ketika mendarat selepas melompat.

ACL juga boleh tercedera sekiranya lutut ditendang dengan kuat dari arah luar sebagaimana boleh berlaku ketika bermain bola sepak atau ketika terkena terjahan semasa bermain rugbi. Kecederaan ACL ini kadang-kadang berlaku secara kombinasi dengan kecederaan meniskus dan MCL.

Kecederaan ACL lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki dengan nisbah dua hingga lapan kali. Alasan kepada perbezaan ini masih tidak dapat dipastikan dengan jelas tetapi berdasarkan kajian terkini, andaiannya adalah disebabkan oleh bentuk anatomi wanita yang berbeza, kesan hormon estrogen ke atas ACL dan kerana terdapat perbezaan dalam imbangan otot di kalangan lelaki dan perempuan.


Simptom kecederaan ACL

  • Semasa berlaku kecederaan bunyi “POP” atau bunyi benda direntap boleh didengar dari sendi lutut tersebut.
  • Lutut terasa longgar dan hilang kawalan, kemudian lutut boleh membengkak.
  • ACL terputus selalunya menyebabkan sakit yang teramat sangat dan serta merta selepas berlakunya kecederaan.
  • Lutut membengkak selalunya berlaku serta merta dan nyata, tetapi boleh juga bengkak terjadi perlahan-lahan dan sedikit saja.
  • Lutut yang tercedera selalunya mempunyai pergerakan yang terhad terutama bila hendak meluruskan kaki kerana sendi lutut tidak dapat diluruskan sepenuhnya.
  • Lutut yang tercedera selalunya berasa sakit bila sekeliling sendi ditekan dengan jari.
  • Tanda positif bila dilakukan pemeriksaan klinikal ujian “Anterior Drawer” dan ujian "Lachman’s”.
  • Sekiranya terdapat kecederaan tulang rawan dan meniskus selalunya permukaan sendi berasa sakit bila ditekan.


    Rawatan untuk ACL terputus

    Apa yang para atlit boleh lakukan?

  • Segera berhenti bermain atau bersukan
  • Memberi rawatan kecemasan R.I.C.E. (Rest, Ice, Compression, Elevation) dengan segera kepada lutut yang tercedera.
  • Dapatkan rawatan pakar perubatan dengan segera.


    Apa yang para doktor boleh lakukan?
  • Seorang doktor atau pakar kecederaan sukan boleh melakukan pemeriksaan ke atas sendi tersebut dan memberi kepastian sama ada ligamen ACL terputus atau tidak.
  • Mendiagnos kecederaan sampingan pada sendi yang tercedera.
  • Melakukan pemeriksaan sinar-x dan imbasan MRI pada lutut yang tercedera
  • Merujuk kepada pakar sekiranya rawatan pembedahan diperlukan.
  • Memberikan program rehabilitasi pra pembedahan untuk menguatkan otot-otot lutut dan mengurangkan bengkak pada lutut dalam penyediaan untuk pembedahan. Ini dapat membantu dalam mendapatkan keputusan terbaik selepas pembedahan.


    Apakah Pembedahan yang biasa dilakukan?
  • Pembedahan yang biasa dilakukan adalah secara artroskopik iaitu pembedahan yang menggunakan teropong kamera yang dimasukkan ke dalam sendi lutut menerusi tebukan kecil pada kulit.

    Sekiranya kecederaan ACL adalah jenis yang membabitkan tulang tempat perlekatan ACL terkopak dari tulang Kering (Tibia) dan fiber ACL masih utuh, doktor akan meletakkan kembali serpihan tulang berkenaan ke tempat asalnya dengan menggunakan skrew atau jahitan.
  • Sekiranya fiber ACL tersebut putus, fiber berkenaan dibuang dan ligamen ACL baru akan dibentuk dengan menggunakan graf yang diambil dari tendon paha atau Hamstring iaitu tendon Semitendinosus dan tendon Gracillis atau menggunakan gabungan tendon Patella dan sebahagian tulang tempurung dan tulang Kering (BTB graft).


    Bilakah pembedahan diperlukan?
  • Rawatan secara pembedahan adalah lebih kerap dilakukan berbanding secara tanpa pembedahan (konservatif) untuk kecederaan ACL.
  • Keputusan sama ada perlu dirawat secara pembedahan adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk umur atlit, gaya hidup, pembabitan dalam aktiviti sukan, jenis pekerjaan, tahap ketidakstabilan sendi lutut dan kecederaan sampingan sekiranya ada.
  • Pesakit yang sudah berusia dan tidak lagi aktif melakukan aktiviti luar sekiranya terputus ligamen ACL kerana terjatuh selalunya tidak akan menjalani pembedahan sebaliknya hanya dirawat dengan fisioterapi dan rehabilitasi. Kadang-kadang pesakit dipakaikan penyokong lutut kerana ia mampu memberi sedikit kestabilan kepada lutut yang tanpa ACL ini.
  • Pesakit yang lebih muda dan aktif melakukan aktiviti sukan dan berkemungkinan mampu mengikuti program rehabilitasi yang kompleks dengan baik pesakit ini biasanya dirawat secara pembedahan.
  • Sejarah kecederaan ACL menunjukkan lutut yang mempunyai kecederaan ACL dan tidak dirawat secara pembedahan mempunyai kadar pembentukan sakit sendi yang kronik, seperti osteoartritis, lebih cepat berbanding lutut yang normal atau dirawat secara pembedahan.

    Bagi mereka yang masih muda dan aktif pula, mempunyai lutut yang longgar kerana ketiadaan ACL memaksa mereka menukar aktiviti sukan kepada jenis yang tidak membabitkan sentuhan badan dan pergerakan berpusing seperti joging.


    Berapa lamakah atlit perlu berehat daripada aktiviti sukan?

    Ini sangat bergantung kepada cara pendekatan pakar bedah dan pakar fisioterapi terhadap proses rehabilitasi. Sesetengahnya memilih program pemulihan yang dipercepatkan di mana atlit boleh kembali bersukan dan bermain dalam pertandingan yang kompetitif dalam masa enam bulan selepas pembedahan. Ada juga memilih tempoh pemulihan yang lebih lama iaitu sembilan bulan sebelum seseorang atlit itu dibenarkan bermain secara kompetitif.


    Apakah Jenis-jenis sokongan lutut yang biasa dipakai?

    Sokongan lutut atau brace boleh memberi perlindungan dan sokongan pada lutut yang tidak stabil. Ia menghalang kecederaan kepada lutut yang sihat dan menyokong lutut yang tidak stabil.
  • Brace lutut berengsel - Ia mempunyai lapisan penguat pada kedua-dua sisi lutut yang dibuat daripada besi dan boleh dibengkokkan pada engselnya. Jenis ini mampu memberi sokongan yang baik kepada lutut.

    Sesetengah brace menggunakan engsel boleh laras yang mana titik putaran berubah mengikut pergerakan lutut dengan itu sokongan yang diberikan adalah lebih sempurna. Bagaimanapun tidak ada sokongan yang mampu memberi perlindungan seratus peratus kepada ACL yang mana ia hanya memerlukan beberapa darjah putaran sahaja untuk mencederakannya.
  • Penyokong lutut yang distabilkan - Jenis ini mempunyai panel sisi yang diperkuatkan untuk memberi sokongan tambahan berbanding sokongan lutut yang standard. Ia memberi sokongan dari tekanan sisi kepada lutut.

    Selalunya terdapat plat besi yang fleksibel atau tali anjal yang dijahit pada kedua-dua sisi penyokong lutut berkenaan. Jenis ini memberikan sokongan sisi yang kurang tetapi mempunyai bentuk yang lebih nipis berbanding brace lutut berengsel.
  • Penyokong lutut asas - Penyokong lutut jenis asas ini tidak mempunyai bahan sokongan tambahan pada sisinya dan selalunya dibuat daripada bahan neoprene yang boleh simpan haba. Jenis ini hanya memberikan sokongan yang sederhana kepada lutut.

  • Rujukan lain :




    Kelik Tabung